>>>My dear Fren... aku dah publish cerpennya...Leh jadik glamer pasni..hehe..
Jangan marah..Janjinya dimungkiri...janji taknak publish, tapi aku publish jugak..;)
Blog aku di tangan aku kan? Haha..;)<<<<
Beginning of the story.........=)
Aku seorang guru pelatih di salah sebuah Institut Pendidikan Guru di selatan tanah air. Dahulu, aku merupakan seorang jurutera di salah sebuah syarikat yang agak kukuh di Malaysia. Pendapatanku semasa bergelar jurutera acap kali melebihi RM7,000 sebulan dan kehidupanku juga agak mewah dengan adanya wang ringgit yang menjadi pendamping setiaku. Tugasku sebagai seorang jurutera tidaklah sesukar yang dibayangkan oleh pelajar-pelajar institut pengajian tinggi yang bertungkus lumus melengkapkan ilmu di dada sebagai bekalan untuk masuk ke sektor swasta atau perkilangan. Kehidupan yang mewah, pekerjaan yang tiada tekanan, dan segala-segalanya nampak serba serbi sempurna bagi meneruskan kehidupan sebegini tetapi tidak bagi aku. Aku tidak nampak cahaya masa depan di sini dan apa yang kucari bukanlah kemewahan hidup di dunia tetapi kebahagiaan dan ketenangan hidup di dunia serta kejayaan hidup di akhirat.
Berbekalkan hampir tiada pengalaman sebagai seorang guru, aku nekad mengikuti kursus perguruan lepasan ijazah yang ditawarkan dalam bidang matematik. Suatu bidang yang suatu masa dahulu pernah menjadikanku seorang bintang dalam sekolompok pelajar cemerlang dan juga pernah menghantuiku tatkala aku alpa dengan keseronokan hidup seorang mahasiswa. Cuba memperbetul apa yang telah tersasar dari landasan yang sepatutnya, aku rasakan inilah peluang yang hanya akan datang sekali dalam seumur hidupku dan aku sahut cabaran ini untuk menjadi guru matematik. Bermulalah detik-detik sukar dalam hidupku sebagai seorang guru pelatih.
Ketika melangkah ke pintu gerbang institut perguruan yang akan menjadi halangan antara aku dan alam pengajaran, jauh di sudut hatiku mula terdetik, “Ya Allah, adakah aku boleh belajar di sini? Kenapakah aku memilih untuk menjadi guru? Adakah aku akan berkawan dengan budak-budak yang masih setahun jagung dan belum bercerai susu ini?” Aku rasakan, hati ini bagai ditabrak dan digelek-gelek roda keretaku sendiri. Perasaan yang begitu sukar untuk aku ungkapkan, lebih-lebih lagi apabila melihat gelagat rakan sekelasku yang hanya membisu diam seribu bahasa dan begitu sukar memberikan senyuman untuk saudara seislam mereka. Tugasan-tugasan yang datang kepadaku tanpa diundang bak hujan peluru di bumi Palestin menjadikan aku semakin tertekan.
Tekanan yang aku hadapi saban hari menyebabkan kepalaku acap kali kesakitan. Pada mulanya aku hanya menelan panadol untuk melegakan kesakitanku tetapi lama kelamaan kesakitan itu semakin kerap datang kepadaku lagi-lagi pada waktu pagi di dalam kelas. Apa yang menghairankan aku adalah apabila aku berada di luar waktu pembelajaran pada hujung minggu di rumahku, tiada sedikit pun sakit yang datang, walau sebesar zarah. Berbekalkan sedikit ilmu di dalam dada dan informasi yang diambil dari capaian internet, rupa-rupanya aku mengalami simpton-simpton sejenis penyakit yang dipanggil migrain. Ia akan datang membawa kesakitan ke sebelah kanan kepalaku apabila aku menghadapi tekanan atau tidak cukup tidur.
Aku teringat perihal seorang doktor yang telah berjaya merawat sakit lelah yang dihidapi aku semasa aku kecil dengan kaedah perubatan homoepathy. Aku lantas menelefon beliau dan sesuatu yang masih lagi bermain dalam fikiranku sehingga hari ini telah berlaku; doktor tersebut hanya merawatku dengan rawatan jarak jauh melalui gelombang telefon. Bunyinya seakan fiksyen sains tetapi itulah hakikatnya. Berdasarkan nama penuh beserta tarikh lahir, doktor tersebut bukan sahaja berjaya mengesahkan bahawa aku memang menghidap migrain, malah boleh mengetahui kandungan gula, asid, dan sebagainya di dalam tubuhku. Beliau kemudian mengarahkanku, “Syafiq, ambil ubat kosong(sebotol serbuk berwarna putih milik ibuku) dan letakkan atas telefon.” Aku mengikut arahannya dengan terpinga-pinga dan rupanya, beliau melakukan proses asimilasi ubat tersebut dengan gelombang yang mampu merawatku. Alhamdulillah, aku sembuh setelah mengambil ubat tersebut dan aku bersyukur dan semakin mengagumi kebesaran Allah S.W.T.
Dikelilingi timbunan nota-nota kuliah, tugasan yang kian membukit menjelang imtihan yang menyesakkan jiwa bukanlah perkara baru dalam hidupku sebagai bekas mahasiswa. Semenjak bergelar guru pelatih di IPGM selatan ini, bermusafir menjejak ilmu perguruan yang hampir tamat destinasi pengajian diplomaku, aku rupanya terpaksa menggembleng tenaga mudaku dengan lebih gigih dari dahulu kerana tidak dapat digantikan dengan kata-kata betapa sibuknya aku. Malah bukan perkara yang ajaib jika tidurpun berselimutkan helaian nota. Menjeling sejenak tugasan KKBI pelengkap pengajianku… Aduhai, tidak kunafikan ia menuntut masa 24 jam 1minit setiap hari. Memerah otak yang masih punya tanggungjawab lain untuk menerima input ilmu perguruan untuk dihadami. Serabut..?! Tapi, berkat kesabaran, ketidakjemuan menapak ke blok C yang menyisipkan 1001 kenangan, serambi ilmu sebagai sumber inspirasi yang tidak jemu kukunjungi adalah antara ramuan yang kutumiskan dalam karya hak milik terpelihara ini. Senyum tanda aku puas. Syukur ya Allah.
Pada suatu petang yang agak suram, sedang aku mengikuti program gerak kerja kokurikulum di dewan terbuka institutku, terlihat aku kelibat seorang gadis yang kecil molek. Walaupun sudah beberapa minggu di sini, baru kali inilah aku terpana dengan kemunculan gadis tersebut yang selama ini sudah berada di hadapanku tetapi tanpa kusedari. Kelibat gadis putih gebu itu di tambah dengan senyumannya yang suci, menusuk jauh ke dalam kalbuku. Kini, hidupku mula dilimpahi cahaya-cahaya kegembiraan yang mungkin kelihatan sekiranya dilihat oleh orang yang rapat denganku. Munculnya cahaya ini dalam hidupku datang dari hati ikhlas seorang gadis yang tak penah lekang dengan senyuman. Terima kasih gadisku. Andainya bulan meretak seribu, namun cahayamu tetap menyinari jalanku yang penuh ranjau dan duri ini. Walau kau tidak menyedari perasaanku namun aku tetap senantiasa menjejak bayangmu. Aku berharap akan berjaya mengharungi sayembaraku di sini dengan cemerlang. Amin Ya Rabbal Alamin.